PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ucapan Perbahasan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2002

OLEH MOHAMED AZMIN ALI
ADUN HULU KELANG
31 OKTOBER 2001

Saya merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2002 atas keinsafan untuk bersama-sama membangunkan Negeri Selangor ke arah yang lebih cemerlang; bukan sekadar untuk membangkang. Tugas menegur bukanlah tanggungjawab pembangkang sahaja malahan ianya adalah tanggungjawab semua. Malangnya, pimpinan UMNO hari ini, MCA apatah lagi MIC; semuanya ketandusan kekuatan untuk menegur ketua-ketua mereka. Maka peranan kami dalam Barisan Alternatif semakin besar dan mencabar untuk membawa suara rakyat ke dalam dewan yang mulia ini. Sindrom membisu dan mengampu tidak ada di dalam kamus perjuangan kami.

Hulu Kelang tidak merasa tercicir apabila tidak berpeluang mendengar ucapan secara langsung pembentangan Belanjawan Tahun 2002 oleh YAB Menteri Besar. Namun, kami bertanggungjawab untuk meneliti, mengupas dan hari ini membahaskannya. Ucapan belanjawan kali ini, seperti yang disebut oleh Bandar Klang, terlalu sarat dengan 'rhetoric' daripada merangka strategi-strategi belanjawan yang lebih fokus dan prakmatik. Falsafah 4 E, 6 M lebih merupakan perhiasan dari amalan.Prinsip pembentangan belanjawan adalah bertujuan untuk menilai pencapaian ekonomi negeri sepanjang tempoh belanjawan yang lepas dan juga mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang wujud dalam perlaksanaan. Keupayaan melakukan muhasabah dan berusaha untuk mengatasinya secara berlapang dada adalah pra syarat untuk mencapai hasrat dan semangat belanjawan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan negeri tidak boleh diciplak dari Pusat. Negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber yang besar untuk memacu ekonomi yang mampan. Belanjawan Pusat yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang baru dilantik oleh Perdana Menteri bukanlah contoh yang terbaik untuk diteladani. Ianya lebih memanfaatkan golongan atasan yang terbilang daripada rakyat terbanyak yang marhain.

Keputusan kerajaan negeri untuk menjelaskan secara langsung perbelanjaan pembelian air sebanyak RM 300 juta melalui peruntukan negeri adalah tidak bijaksana sehingga menyebabkan peruntukan di bawah lain-lain perbelanjaan melonjak hampir 80 % berbanding tahun 2001. Sementara usaha pemulihan ekonomi sedang rancak dipergiatkan, justeru kerana kesan peristiwa 911 dan kegawatan ekonomi dan politik yang masih menghambat kita, perbelanjaan seumpama ini tidak membantu untuk merangsang ekonomi dan sewajarnya ditangguhkan. Peruntukan yang besar ini sepatutnya dibelanjakan untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi yang memberi kesan positif langsung kepada rakyat.

Defisit belanjawan Negeri Selangor hampir RM 338 juta atau 32.3 % boleh dikurangkan atau dielakkan jika kerajaan negeri lebih berhemah dan cermat dalam perbelanjaan. Lebih daripada RM 1 bilion yang dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan sepatutnya disalurkan dalam bentuk 'liquid assets' untuk menjana aktiviti ekonomi bagi menambahkan pendapatan Negeri selangor.

Dasar Setinggan Sifar hanya memfokuskan perancangan untuk menyediakan perumahan untuk setinggan tetapi tidak mempunyai strategi dan pelan jangka panjang untuk membendung pertambahan dan pengaliran masuk setinggan.

Kerajaan negeri memerlukan satu 'master plan' atau pelan jangka panjang untuk mempelbagaikan industri ekonomi negeri. Ini akan mengurangkan pergantungan negeri kepada satu jenis industri sahaja seperti sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 54 % kepada KDNK Negeri Selangor. Dalam krisis ekonomi seperti sekarang, apabila sektor pembuatan terjejas, ekonomi Negeri Selangor akan turut terjejas akibat pergantungan tersebut.

Pembentangan belanjawan bukanlah satu perkara baru. Saydina Umar Al-Khattab dalam membentangkan belanjawannya pernah berkata bahawa beliau akan membelanjakan wang rakyat seperti beliau membelanjakan wang dirinya dan keluarganya. Saydina Umar menyuruh supaya wang rakyat dibelanjakan secara cermat dan berhemah dan tidak boros dalam perbelanjaan. Prinsip pertanggungjawaban inilah yang harus menjadi teras kepada kepimpinan yang mampu mengangkat martabat ummat dan menjamin keadilan untuk semua. Saydina Umar tidak menggunakan wang rakyat untuk membeli jet peribadi Global Express dan jauh sekali menggunakan wang rakyat untuk membina mahligai untuk sisa-sia hidupnya. Saydina Umar juga tidak menggunakan dana awam dengan sewenang-wenangnya untuk program 'bail-out' bagi keluarga dan kroninya. Saya mengajak YAB Menteri Besar dan pimpinan negeri supaya menginsafi prinsip pertanggungjawaban ini.

Saya juga mengajak pimpinan negeri untuk menghayati kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam pertemuan dengan anaknya di pejabat. Khalifah Umar bertanya anaknya tentang tujuan kedatangannya ke pejabat; adakah untuk urusan rasmi atau peribadi ? Anaknya menjawab, 'urusan peribadi.' Lalu Khalifah Umar memadamkan lilin di dalam pejabatnya. Anak Khalifah Umar bertanya lagi mengapa lilin tersebut dipadamkan. Khalifah Umar bertegas memberitahu anaknya bahawa lilin tersebut adalah harta kerajaan dan bukan milik peribadi. Begitulah prinsip pertanggungjawaban yang menjadi amalan Khalifah Umar. Bagi pemimpin UMNO, jangankan kata lilin; baru-baru ini seorang pemimpin kanan UMNO menggunakan stadium di Kepala Batas untuk meraikan majlis perkahwinan anaknya yang kononnya dihadiri oleh 70,000 orang.

Falsafah 'Good Governance' dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor mestilah diterjemahkan dalam amalan pentadbiran dan bukannya perhiasan dalam teks ucapan belanjawan.

29 Oktober 2001 merupakan 'Hari Hitam' dalam amalan demokrasi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor. Prosiding dewan telah dicaturkan dengan cukup terancang sehinggakan Speaker tidak mampu bertindak secara bebas dan adil. Ahli-ahli Yang Berhormat dari Barisan Nasional diperkudakan untuk mengunci mulut-mulut mereka daripada membongkarkan salah laku dan rasuah yang didakwa diamalkan oleh YAB Menteri Besar. ADUN Kelana Jaya dan ADUN Sijangkang melatah dan menzahirkan 'the true colors of UMNO leaders' yang takut dengan ketua.

Kami dari Barisan Alternatif tidak mempertikaikan kewibawaan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kami juga tidak meminta dewan ini untuk bersikap seperti sebuah badan penyiasat. Tetapi YAB Menteri Besar, selaku ketua negeri, YAB Menteri Besar mempunyai tanggungjawab moral dan tanggungjawab politik untuk memulihkan imej Institusi Menteri Besar Selangor yang dari dulu tidak pernah surut dari pelbagai bentuk amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan mengkhianati amanah rakyat Selangor. Pencemaran institusi ini telah menyebabkan rakyat Negeri Selangor hilang keyakinan terhadap kredibiliti, ketelusan dan kemampuan kepimpinan kerajaan Negeri Selangor. Saya mendesak YAB Menteri Besar untuk menggunakan dewan yang mulia ini sebagai forum yang terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri dengan memberikan penjelasan yang jujur dan tepat berhubung dakwaan amalan rasuah dan salahguna kuasa yang telahpun dirongkai oleh sahabat saya, ADUN Sungai Burong semalam.

Sebagai wakil yang mewakili rakyat Selangor yang menjunjung kasih Ke Bawah DYMM Tuanku Raja Selangor dan mendukung institusi raja berperlembagaan, saya amat prihatin atas timbulnya dakwaan salah laku YAB Menteri Besar Selangor yang membabitkan nama baik DYMM Tuanku. Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mencari perlindungan dengan mencemarkan nama baik DYMM Tuanku. Saya memohon YAB Menteri Besar dapat memberikan penjelasan sepenuhnya.

Saya menggesa agar Jawatankuasa Peringkat Negeri yang meneliti semua permohonan dan kelulusan tanah di Negeri Selangor dianggotai oleh wakil dari BPR untuk mengelakkan sebarang unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Saya juga mendesak YAB Menteri Besar untuk tidak mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan. Pendekatan yang bermoral ialah dengan YAB Menteri Besar meletakkan jawatan sementara siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa diselesaikan untuk menjamin ketelusan.

Sekian Terima Kasih.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]