PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Politik Baru : Mitos atau Realiti?

Ruslan Hj Kasim
Ketua Penerangan keADILan Malaysia

Dalam keghairahan kita berpolitik kekadang kita alpa dan leka bahkan sering juga terbabas. Ada dikalangan kita yang melihat politik adalah segalanya bahkan sehingga menganggap politik adalah satu cara hidup, politik adalah budaya bahkan ada yang menganggap politik adalah “The Way Of Life”.

Hakikatnya politik adalah tanggapan atau persepsi atau suatu bidang sains kemanusiaan untuk mentadbir dan mengurus masyarakat atau organisasi. Namun ada yang melihat politik sebagai suatu yang terlalu penting dan mengatasi segala-galanya hatta Agama. Justeru itu tidak pelik kalau kita menyaksikan bagaimana masyarakat kita berpolitik seolah-olah moral politik itu mengatasi moral agama. Pelanggaran etika, budaya, moral dan Agama itu dilihat sebagai sebahagian dari kaedah atau cara berpolitik. Mana-mana individu yang gagal melihat politik dari aspek demikian dan mengamalkan politik secara itu akan dianggap orang yang belum arif atau belum mahir berpolitik bahkan dianggap ‘naïve’ dalam politik.

Tidak hairanlah kita melihat orang yang berpolitik sehingga digelar orang politik, atau hamba politik dan ada yang digelar haiwan politik (political animal) dan sebagainya. Lantaran kriteria kelompok sebegini sudah digariskan sebagai golongan yang banyak berjanji tapi jarang ditunaikan, golongan yang sering cakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap, golongan pemutar belit, golongan berpendirian ‘Win – Loose ‘ bukannya ‘Win – Win’, ertinya individu yang hanya memikirkan kemenangan mereka tanpa memikirkan soal orang lain. Biar orang lain mati asal aku terus hidup. Ada individu yang tidak pernah berpolitik, dek terlalu ghairah dengan politik menjadi lebih teruk dari individu yang pernah berpolitik, ibarat pepatah ‘lebih lajak dari laju’. Individu yang meletakkan matlamat boleh menghalalkan segala cara (The end justify the means). Oleh itu politik menjadi terlalu kotor dan tercemar apabila persepsi-persepsi begini terus berada dalam kotak pemikiran orang politik atau masyarakat umum.

Namun apa yang seharusnya berlaku ialah melihat politik hanya sebagai alat dan bukannya matlamat. Alat harus digunakan dengan baik dan sentiasa boleh diubah dan ditukar ganti. Jangan sampai menjadi hamba kepada alat atau alat menjadi matlamat dalam hidup. Itulah yang kita katakan sebagai politik baru yang didambakan oleh setiap anggota masyarakat.

Masyarakat kita yang semakin maju dan terdedah dengan dunia yang lebih luas sentiasa melihat tingkah laku dan tabiat orang politik. Masyarakat sentiasa menilai dan meneliti dengan dekat setiap gerak dan laku orang politik dan parti politik. Masyarakat sebenarnya sudah muak dan bosan dengan gelagat dan perangai politik yang sedemikian rupa, justeru itu mereka ingin dan mengimpikan suatu altenatif kelompok politik yang mampu membersihkan politik secara total dan mengembalikan politik kepersadanya yang mulia. Justeru itu tidak hairan apabila keADILan muncul dengan slogan “Alaf Baru, Parti Baru, Politik Baru” cukup menyentuh hati nurani rakyat dan meruntun mereka untuk berpartisipasi dengan sejuta harapan untuk melihat politik baru yang mereka dambakan. Politik yang bersih dan murni. Politik yang telus dan tulus, bukannya politik lama yang berkisar soal pulus dan pulus.

Keprihatinan rakyat terhadap keADILan tidak boleh dipertikaikan lagi. Harapan menggunung mereka untuk melihat keADILan bangkit sebagai parti yang mampu mencorakkan warna politik negara dengan warna yang suci, harmoni, bersih, matang dan tenang menggantikan warna lama yang ganas, kotor, jijik dan memualkan. Namun harapan ini akan hanya tinggal harapan jika kita tidak bersihkan diri kita dari amalan politik lama. Botol yang lama, jenama yang baru, isinya harus yang baru. Jangan botol yang lama jenamanya baru tetapi isinya tetap yang lama, kita akan hanya menjadi manusia-manusia politik yang hepokrit dan munafik.

Sun Zsu pernah mengatakan, “kenali musuhmu dan kenali dirimu pasti kamu akan berjaya”. Apa yang membimbangkan kita apabila Sun Zsu juga menyebut, “jika kamu gagal mengenali musuhmu dan juga dirimu pasti kamu akan gementar dan tewas”. Musuh sentiasa bergendang dan menarik kita untuk turut menari rentak dan irama yang dimainkan. Sebagai ahli politik baru kita tidak harus mudah melatah dan menjadi defensif dengan rentak paluan gendang musuh. Kita harus berusaha mengenali musuh agar tidak mudah diceroboh. Hassan Al-Basri pernah juga ditanya, “apakah syaitan itu tidur”, jawab Hassan Al-Basri, “jika syaitan itu tidur maka bolehlah kita berehat”. Musuh tidak akan tidur selagi tidak melihat kehancuran kita. Jalan akan dicari, strategi dan langkah akan diatur untuk memastikan kita terkulai dalam cengkaman mereka. Sejarah Parti Semangat 46 yang berkubur tanpa nisan menjadi contoh trajis bagi suatu perjuangan politik. Rakyat pastinya tidak ingin melihat insiden malang itu berlaku kepada keADILan. Jangan sampai kita membuka ruang untuk musuh menyerang. Jangan sampai kita membekalkan musuh senjata baru untuk membunuh kita.

Amalan fitnah-menfitnah, adu domba dan cantas-mencatas telah menjadi sebahagian budaya politik lama yang kita telah tinggalkan. Iltizam kuat kita ketika menyahut cabaran untuk berjuang bersama dalam keADILan adalah membunuh amalan politik sedemikian. Kita telah sama-sama bersumpah untuk menolak amalan sedemikian sebagai komitmen kita untuk membina politik baru. Wang ringgit dan kekayaan bukanlah segalanya bagi politik baru. Kita memilih pemimpin bukan kerana harta bendanya tetapi kerana akhlak dan karismanya sebagai pemimpin. Kata pepatah, ‘tidak banyak semut yang mati kerana cuka tetapi banyak yang mati kerana gula’. Ada yang beranggapan pemimpin mestilah dari kalangan yang mempunyai wang yang banyak dan pemimpin yang tidak punya wang banyak mesti ditolak. Inilah pemikiran politik lama yang mesti kita hindari dari meracuni parti.

Politik baru yang kita war-warkan mendidik kita untuk turut bertanggungjawab terhadap kepemimpinan, bukan sebaliknya menyerahkan amanah kepemimpinan ini secara total kepada pemimpin. Justeru itu pemimpin harus boleh ditegur bahkan akan sentiasa minta ditegur. Saidina Umar Al-Khattab pernah menangis dan bersyukur kerana masih ada umat yang berani menegur beliau ketika mana seorang pemuda menghunuskan pedang menegur Umar. Saidina Abu Bakr As-Siddiq ketika ucapan dasar pertamanya beliau menyebut, “saya bukanlah yang terbaik dikalangan kamu, sokong dan bantulah saya selagi mana saya berada dijalan yang benar, jika saya tersilap maka perbetul dan tegurlah saya, jika saya tidak mahu lagi ditegur maka nyahkan saya dari jawatan ini, sesungguhnya orang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisiku manakala orang yang lemah di sisi kamu adalah kuat di sisiku”. Ini lah contoh pemimpin yang adil yang kita dambakan dalam politik baru.

Yang menjadi kebimbangan kita apabila ada pemimpin yang menganggap bahawa teguran itu adalah permusuhan. Siapa yang menegur dianggap musuh dan berdosa besar yang mesti dihapuskan dengan apa cara sekalipun. Bagi kalangan ini menganggap bahawa dalam politik tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal. Inilah amalan politik jijik yang merosakkan. Inilah barah yang sedang melanda UMNO dan beberapa parti komponen Barisan Nasional. Barah ini akan lebih mudah membunuh kita sekiranya ianya dibiarkan terus menular dalam parti. Apa yang seharusnya berlaku kawan tetap kekal sebagai kawan hingga akhirat dan musuh harus diusahakan agar menjadi kawan, kerana politik baru bukanlah politik perseteruan dan permusuhan tetapi politik persahabatan. Pertandingan dalam parti bukannya peperangan tetapi penawaran khidmat yang terbaik untuk dipilih.

Ayuh kita renung bersama ke mana akan kita bawa parti ini yang masih muda usianya tapi punya potensi besar sebagai alternatif kepada parti memerintah. Kita yang akan membuat pilihan apakah politik lama yang ingin kita kekal dan suburkan atau politik baru yang akan kita angkat sebagai asas perjuangan kita. Apa pun yang paling penting ialah melihat semula asas perjuangan yang telah kita bina iaitu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk seluruh rakyat dan bangsa Malaysia. Jadikanlah Politik Baru sebagai reality bukannya mitos atau khayalan.

Politik Lama VS Politik Baru

Politik Baru

  1. Tiada permusuhan yang ada hanyalah menawar diri untuk dipilih yang terbaik.
  2. Kualiti kepimpinan dan personality menjadi asset untuk di nilai dan dipilih.
  3. Lawan mesti dihormati dan dihargai kerana punya semangat untuk menyumbang kepada parti.
  4. Karisma, akhlak dan berpandangan jauh menjadi kekuatan.
  5. Kekuatan pada diri sendiri tanpa perlu menumpang kepada pemimpin lain.
  6. Jujur, ikhlas, adil dan benar menjadi prasyarat dalam tindakan.

Politik Lama

  1. Kawan yang berlainan kem dianggap musuh dan perlu dihapuskan.
  2. Wang, harta dan kekayaan menjadi komoditi untuk dijaja dan ditawarkan.
  3. Lawan mesti difitnah dan dihina untuk mendapat sokongan.
  4. Wang ringgit menjadi umpan kepada perwakilan dengan pelbagai tawaran termasuklah penginapan percuma, makan/minum ditanggung dan wang saku juga diberi.
  5. Nama Presiden dan tokoh tertentu digunakan untuk meraih sokongan bukannya dengan kekuatan sendiri.
  6. Menipu, berbohong dan mengugut adalah prasyarat dalam kempen.

(Berita keADILan Online)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]