PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Budaya Baru, Politik Baru Parti keADILan Nasional

Oleh: Mohamad Rafie bin Ab. Malek

Kelahiran Parti Keadilan Nasional (keADILan) pada hari bersejarah 4 April 1999 membawa satu titik pembaharuan didalam perkembangan politik negara. Ia membawa harapan besar rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, aman serta dinamik didalam menghadapi era globalisasi. Permasalahan salah guna kuasa, pembolotan kekayaan negara untuk keluarga atau rakan tertentu didalam gelomoran rasuah, kronisme dan nepotism akan sudah pasti bakal menghancurkan negara serta menganiayai rakyat biasa.

Didalam usia menjangkau dua tahun setengah, satu usia yang cukup muda, keADILan telah melalui pelbagai cabaran dan suasana yang membuktikan keunggulan keADILan menjadi parti alternatif yang amat digeruni oleh parti pemerintah. Pilihanraya Umum kesepuluh pada tahun 1999, didalam usia hanya tujuh bulan, keADILan berjaya memperolehi 752,295 undi kerusi Parlimen iaitu 11.2% daripada undi keseluruhan. Bergabung bersama dibawah Barisan Alternatif (BA), BA dan barisan pembangkang berjaya memperolehi 43.9% undi keseluruhan berbanding BN yang hanya menang majoriti tipis dengan undi keseluruhan 56.1%. KeADILan juga berjaya mendapat 5 kerusi Parlimen dan 4 kerusi Dewan Undangan Negeri didalam pilihanraya umum yang pertama kali ditandinginya. Kerusi Dewan Undangan Negeri keADILan bertambah menjadi 5 apabila kubu kuat BN tembus dengan kekalahan calun MIC di Lunas pada akhir tahun 2000.

Penangkapan beberapa orang pimpinan dan aktivis keADILan dibawah ISA serta halangan untuk mengadakan ceramah umum tidak membawa kesan atau tanda-tanda keADILan  akan mati senasib seperti Semangat 46 sebagaimana yang dicanang-canangkan oleh UMNO sebelum ini. Kekhuatiran UMNO dan BN terhadap kebangkitan keADILan sebagai parti alternatif yang mampu menggantikan UMNO dan BN yang tidak  lagi relevan didalam senario politik negara menyebabkan mereka tidak duduk diam untuk mengambil usaha-usaha yang boleh merosakkan keADILan dari dalam. Media arus perdana diperguna seluas-luasnya untuk membuat provokasi untuk melaga-lagakan kepimpinan keADILan. Malahan media yang dianggap boleh menjadi media alternatif seperti Malaysiakini jua sudah mula terkeliru dan terjebak membawa berita yang tidak tepat mengenai keADILan. Tanpa media dan rangkaian pemberian maklumat yang teratur, keADILan menghadapi masalah untuk menyampaikan maklumat yang tepat dengan segera kepada ahli-ahli dan rakyat jelata.

Untuk mengelak ahli-ahli keADILan dan rakyat terjebak didalam kancah yang ingin meruntuhkan keADILan, satu analisa bermula dari sejarah kelahirannya perlu diamati dan difahami.

Kelahiran keADILan

Kemelut politik negara memuncak apabila peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada tarikh 2 September 1998. Semua lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli UMNO serta komponen BN, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat biasa tersentak dan bangkit menentang kezaliman yang ternyata semakin berleluasa. Beberapa usaha diambil untuk menyatukan kesemua pendokong keadilan dan kebenaran dibawah satu panji yang sah dari sisi perlembagaan.

Parti Keadilan Nasional lahir hasil pindaan empat perkara didalam Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) pada 28 November 1998. Pindaaan tersebut melibatkan nama, bendera, lambang dan sedikit fasal perlembagaan yang menyentuh mengenai keahlian. Keahlian sebelum ini hanya dibuka kepada warganegara Islam telah dibuka seluas-luasnya kepada semua golongan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Pindaan perlembagaan mengenai keahlian ini menjadi intipati kepada keADILan yang menempa era baru didalam perjuangan budaya baru, politik baru.

Menyedari hakikat bahawa pendokong keadilan dan kebenaran merangkumi dari semua pelbagai lapisan samada yang pernah berkhidmat bersama UMNO, MCA, MIC atau NGO seperti ABIM dan JIM atau rakyat biasa yang tidak pernah terlibat dengan parti politik mahupun NGO, keADILan memberi ruang seluas-luasnya untuk mereka bergerak dibawah satu payung. Kesemua pendokong keADILan mempunyai matlamat yang sama iaitu mendokong kebenaran dan keadilan. Kepelbagaian latarbelakang sememangnya telah diketahui dan ia menjadi tunggak kekuatan parti berdasarkan kepelbagaian pengalaman akan mengukuhkan parti didalam menyaingi UMNO dan BN yang telah lama bertapak di negara ini. Justeru itu, sebarang usaha untuk memecahkan keADILan tidak akan dapat ditembusi melainkan diwujudkan perpecahan dikalangan pendokong parti dengan membawa istilah kabilah-kabilah yang kononnya wujud kelompok-kelompok didalam keADILan yang berebut kuasa yang ingin menjadi dominan didalam parti.

Kesinambungan survival parti hanya boleh dipertahankan dengan perpaduan didalam keADILan diperkukuhkan. Sebarang usaha baik dari luar mahupun dari dalam parti yang berusaha untuk memecahbelahkan parti dengan dakwaan perjuangan kabilah-kabilah adalah berniat jahat.

Budaya baru, politik baru

Matlamat perjuangan keADILan adalah jelas iaitu memperjuangkan keadilan dan kebenaran tanpa mengira kaum dan agama. Kaedah atau cara menuju matlamat suci keADILan  berpaksi kepada budaya baru, politik baru yang menolak budaya politik kotor yang berasaskan kepada Machiavellianismethe ends  justify the means.                                                                     

Menyedari kepelbagaian latar belakang ahli-ahli keADILan disamping suasana sejarah yang mencorak kaedah atau cara politik yang sekian lama telah menjadi kotor, kepimpinan keADILan menghadapi  tugas berat untuk mentarbiyyah atau mendidik ahli-ahli dan rakyat untuk mengamalkan budaya baru, politik baru. Usaha mengikis budaya politik kotor yang telah mencorak budaya politik negara akan mengambil masa yang lama.  Agenda budaya baru, politik baru perlu ditafsirkan dan diperjelaskan untuk difahami dan dilaksanakan untuk mengelak perpecahan dan andaikata politik cara lama diamalkan ianya menyebabkan tiadanya perbezaan diantara parti keADILan dan parti lawan.

Budaya baru dan politik baru keADILan memartabatkan kepimpinan adalah amanah yang perlu dinobatkan dengan nilai-nilai akhlak-akhlak dan etika yang mulia. Budaya bermuafakat berlandaskan ilmu menjadi asas perpaduan parti. Kepimpinan secara kolektif yang memberi ruang untuk berbeza pendapat tetapi tetap utuh sesudah sepakat akan memperkasa kedinamikan parti. Politik tampung-menampung  iaitu saling bantu- membantu diantara satu sama lain dihidupkan diatas hakikat menyedari tiada seorang pemimpin yang benar-benar perfect dan kita saling perlu-memerlukan. Kritik yang diberi adalah kritikan  yang membina yang dituruti dengan pandangan mahupun bantuan untuk memperbaiki sebarang bentuk kelemahan. Kritikan menghancur yang bertujuan untuk mengaibkan dan bukan untuk memperbaiki keadaan adalah dilarang.

Budaya fitnah dan budaya wang tidak mendapat tempat didalam keADILan. Perjuangan parti berlandaskan kepada prinsip kebenaran dan bukan atas dasar sogokan wang atau harta kekayaan. Apatah lagi budaya fitnah yang boleh membawa kehancuran kepada peradaban kemanusiaan tidak mendapat tempat didalam keADILan

Isu Menjelang PAT3.

Perhimpunan Agung Tahunan Ketiga (PAT3) yang akan diadakan di Kemaman, Terengganu pada 9, 10 dan 11 November 2001 melihat kedinamikan parti yang melibatkan rakyat hampir keseluruh negara menerusi 120 bahagian yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Kemekaran demokrasi mengizinkan ahli-ahli menerusi perwakilan-perwakilan yang dipilih untuk menentukan kepimpinan tertinggi parti pada PAT3 yang buat pertama kali melihat pemilihan menerusi perwakilan bahagian dari seluruh negara.

Buat pertama jua, ahli-ahli keADILan diseluruh negara disentakkan dengan pelbagai isu-isu sensasi yang membayangkan seolah-olah ada perpecahan didalam parti. Apa yang memeranjatkan, media arus perdana khususnya TV3, Utusan Malaysia dan The Star menjadi pelapur utama isu-isu sensasi ini. Mengapa media arus perdana yang sebelum ini tidak pernah memberi ruang lapuran yang positif kepada keADILan bersungguh-sungguh membuat ulasan dan komentar menjelang pemilihan kepimpinan baru keADILan pada PAT3 ini. Agak pelik juga jika mereka benar-benar jujur untuk membuat komentar untuk memberi ruang maklumat kepada ahli-ahli keADILan supaya membuat pemilihan pemimpin-pemimpin yang tepat dan bersesuaian untuk menerajui parti. Beberapa isu besar yang dibawa oleh media arus perdana wajar dikupas untuk menilai kebenarannya.

1.      Kabilah ABIM ingin mendominasi keADILan

Media arus perdana melapurkan bahawa kabilah ABIM ingin mendominasi keADILan. Isu ini yang dimulai oleh seorang pemimpin pemuda keADILan yang meletak jawatan untuk semua jawatan yang dipegangnya dan berhasrat tidak mahu lagi memegang sebarang jawatan dimasa yang akan datang disambut oleh media massa arus perdana secara meriah. Isu ini dikupas hampir saban hari yang menjurus untuk memperkecilkan beberapa tokoh yang pernah terbabit dengan ABIM merumuskan seolah-olah media arus perdana ingin mencadangkan kepada ahli-ahli dan perwakilan-perwakilan keADILan bahawa mereka sewajarnya menolak mana-mana pemimpin keADILan yang ada mempunyai latar belakang ABIM. Ulasan-ulasan yang dibuat yang membayangkan ABIM membawa konotasi tidak baik dan merbahaya samada kepada masyarakat Melayu atau masyarakat bukan Melayu.

Umum sememangnya mengetahui bahawa pemerintah negara sememangnya tidak senang dengan ABIM dan diantara orang yang mula-mula ditangkap selepas era reformasi bergema pada akhir tahun 1998 adalah pemimpin-pemimpin ABIM. Malahan fakta sejarah pendek keADILan menunjukkan pemimpin-pemimpin keADILan yang berlatar belakang ABIM adalah peneraju utama untuk melahirkan Parti Keadilan Nasional pada tarikh bersejarah 4 April 1999. Mereka cukup rasional dengan membuka ruang seluas-luasnya parti kepada semua bangsa dan agama untuk terbabit memulakan budaya baru, politik baru didalam keADILan. Satu fakta yang sukar dinafikan adalah kualiti kepimpinan cemerlang yang ditonjolkan mereka yang pernah melalui orientasi ABIM. Diantara pemimpin besar yang pernah dilahirkan oleh ABIM adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang pernah menjadi Presiden ABIM yang kedua.

Umumnya, rata-rata ahli keADILan adalah lebih bimbang mengenai usaha-usaha untuk mengUMNOkan keADILan yang mungkin berlaku yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu dengan restu parti pemerintah yang menguasai media massa arus perdana berbanding dengan usaha-usaha mengABIMkan keADILan seperti yang dicanangkan oleh media massa.

2.      Penggabungan keADILan – PRM

Walaupun isu penggabungan keADILan dan PRM telah selesai setelah Parti Keadilan Nasional mengadakan Perhimpunan Agung Khas (PAK) pada 24 Jun 2001 namun isu ini terus dimainkan oleh pehak-pehak tertentu dan media massa arus perdana. PAK tersebut secara muafakat telah memutuskan untuk bersetuju bergabung dengan PRM tetapi tidak mengizinkan sebarang pindaan yang berkaitan dengan nama, lambang dan perlembagaan keADILan. Adalah amat menghairankan bahawa keputusan yang cukup jelas ini masih menarik media arus perdana untuk mengelirukan rakyat dengan mensensasikan kononnya ada pemimpin utama keADILan yang menolak usaha penggabungan setelah PAK.

Keputusan PAK yang tidak menolak penggabungan tetapi tanpa pindaan nama, lambang dan perlembagaan wajar dihormati oleh semua pehak. Media arus perdana seolah-olah berusaha untuk mengeruhkan perhubungan kepimpinan sesama keADILan dan sesama kepimpinan PRM yang menjadi rakan didalam Barisan Alternatif.

3.      Keputusan Dr. Chandra Muzaffar dan Zainur Zakaria untuk tidak bertanding

Keputusan Dr. Chandra Muzaffar dan Zainur Zakaria untuk tidak bertanding didalam PAT3 pada 10 November 2001 disensasikan oleh media arus perdana. Wajar diingat bahawa kedua-dua pemimpin ini masih lagi memimpin parti sehingga 11 November 2001 dan masih lagi ingin terus menjadi ahli keADILan. Malahan perjuangan mereka tidak pernah luntur untuk meneruskan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Cuma mereka memohon untuk tidak menjadi pemimpin utama parti diatas sebab-sebab tertentu dimana keputusan mereka ini perlu kita hormati.

Berbanding pemimpin pemuda yang meletakkan jawatan yang menggunakan media arus perdana untuk mengkritik parti, kedua-dua tokoh besar ini tidak pernah menggunakan media untuk mengkritik parti. Kecintaan mereka kepada perjuangan parti amat jelas dan mereka merupakan pemimpin yang mempunyai prinsip dan akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada keADILan.

Kesimpulan

Parti Keadilan Nasional adalah parti harapan rakyat untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Malaysia. UMNO dan BN menyedari hakikat bahawa keADILan mampu membawa era baru didalam kepimpinan negara. Walaupun menyedari kebobrokan dan kepincangan kepimpinan mereka, UMNO dan BN akan cuba terus berusaha dengan mengguna apa cara sekalipun untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Sejarah dunia silam menunjukkan bagaimana pemerintah negara yang rakus untuk terus berkuasa menggunakan pelbagai bentuk kaedah termasuk menyerap masuk dan menyerang parti lawan dari dalam. Ianya lebih mudah untuk menumbangkan organisasi yang tidak mempunyai perpaduan akibat perpecahan sesama sendiri berbanding diserang secara terus dari luar.

Provokasi media arus perdana tidak sewajarnya jua menyebabkan ahli-ahli keADILan melatah. Mereka sememangnya sudah mengetahui media arus perdana adalah milik propaganda parti pemerintah.

KeADILan akan tetap utuh dan relevan kerana ahli-ahli keADILan adalah cukup matang dan bijak untuk menilai yang benar dan yang bathil. Malahan menjelang PAT3 ini jua akan mampu melihat perwakilan-perwakilan keADILan bertindak secara rasional untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka. Mereka mampu membeza diantara pemimpin yang berkualiti atau pemimpin biasa. Kepetahan berpidato atau popular semata tidak akan menjadi satu-satunya penilai untuk menentukan pemimpin mana yang akan mereka pilih untuk memimpin perjuangan keADILan didalam era budaya baru, politik baru.

 

Mohamad Rafie bin Ab. Malek adalah Ahli Majlis Tertinggi (MPT) dan adalah merupakan salah seorang yang bertanggungjawab merintis untuk melahirkan dan melancarkan Parti Keadilan Nasional pada tarikh bersejarah 4 April 1999.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]