Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)

Anwar fail permohonan untuk dilepaskan dengan ikat jamin

 

KUALA LUMPUR,Rabu 26 Mac- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan di sini memohon supaya dia dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan liwat,selesai.

Notis usul itu telah difailkan melalui Tetuan S.N.Nair di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Mengikut afidavit Anwar yang telah disertakan bagi menyokong permohonan itu, Anwar berkata tempoh hukuman penjara selama enam tahun yang dijalaninya setelah didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah akan berakhir pada 14 April tahun ini selepas mengambil kira tempoh peringanan hukuman.

Anwar berkata beliau membuat permohonan ikat jamin itu atas nasihat peguamnya bahawa beliau (Anwar) mempunyai hak untuk berbuat demikian (permohonan ikat jamin) pada atau selepas 14 April sementara menunggu pendengaran rayuan kes liwatnya selesai.

Dalam hubungan ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk Hashim Yusoff yang sedang mendengar rayuan Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja terhadap sabitan dan hukuman mereka atas kesalahan liwat hari ini, membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh supaya permohonan itu didengar selepas pihak pembelaan dan pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujah-hujah mereka di dalam rayuan itu.

Pada mulanya, mahkamah menetapkan Isnin depan (31 Mac) untuk mendengar permohonan itu berikutan satu perakuan segera yang difailkan oleh peguam S.N.Nair, yang juga mewakili Anwar, memohon supaya permohonan itu didengar dengan segera.

Anwar, 56, di dalam afidavitnya mengemukakan beberapa alasan bagi permohonan ikat jamin itu antaranya -- beliau berada dalam tahanan reman di penjara Sungai Buloh sepanjang tempoh perbicaraan kesnya serta menjalani tempoh penjara sehingga kini bagi sabitan kes rasuah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang telah menolak permohonan ikat jaminnya.

Beliau juga berkata beliau berhasrat untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit tulang belakang yang dialaminya di Alpha Clinic di Munich, Jerman oleh seorang doktor pilihannya Dr Thomas Hoogland.

Anwar berkata beliau dinasihatkan oleh peguamnya dan percaya bahawa beliau mempunyai hak di bawah undang-undang untuk mendapatkan rawatan dari mana-mana doktor pilihannya.

Beliau memerlukan pembedahan tulang belakang pilihannya kerana telah dinasihatkan oleh pakar bedah sarafnya bahawa prosedur pembedahan tempatan sebagaimana yang ditawarkan oleh pihak kerajaan sebelum ini adalah sangat mendalam serta dijalankan dalam situasi pembiusan keseluruhan yang melibatkan risiko yang tinggi, katanya.

Sementara itu, pada perbicaraan hari ketiga rayuan Anwar dan Sukma Darmawan terhadap pensabitan dan hukuman mereka bagi kesalahan liwat, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa hakim perbicaraan patut menggunakan peruntukan Seksyen 114G Akta Keterangan bagi kegagalan pendakwaan untuk memanggil saksi penting Ummi Hafilda Ali.

Seorang lagi peguam Anwar, Christopher Fernando berhujah bahawa pendakwaan telah menjangkakan bahawa pihak pembela akan memanggil Ummi Hafilda untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu tetapi tidak munasabah bagi pembelaan berbuat demikian (memanggil Ummi Hafilda memberi keterangan) kerana beliau akan menjadi saksi belot kerana beliau merupakan saksi yang berkepentingan dan penggerak utama untuk mengadakan tuduhan terhadap Anwar.

Mahkamah Rayuan turut mendengar hujah daripada seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh yang menegaskan bahawa Anwar dan Sukma Darmawan telah terhalang daripada membela diri dan sepatutnya dibebaskan memandangkan mereka tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat bekas pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar pada 1993 sementara Sukma Darmawan, yang dibicarakan bersama Anwar, turut didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun dengan empat sebatan.

Anwar dan Sukma Darmawan disabitkan melakukan kesalahan itu di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di sini pada pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993.


 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net